Tuesday 13 December 2011

Muharram Yang Datang

Tidak sehebat mana hati ini gembira apabila muncul muharram 1433 ini.  Walaupun dah pertengahan Muharram tapi target dan azam untuk tahun ini macam tak berapa nak difikirkan.  Betapalah malangnya saya.  Mesti tanamkan target dan azam untuk tahun ini .  Saya mesti berjanji untuk mencapai target ini.

1.   Belajar untuk puasa pada hari Isnin dan Khamis

2.   Saya mesti mengawal sifat marah ketahap paling minimum.

Inilah KPI separuh tahun untuk tahun hijrah 1433 saya.  Mesti laksanakan dan berusaha untuk mencapainya.  Selamat berjaya Azilawati.


marah oh marah,  berilah kekuatan saya untuk mengurusmu pada tahun ini


Friday 4 November 2011

Korban

Hari Raya Korban dah dekat. Lalu peristiwa pengorbanan hebat  Nabi Ibrahim terhadap Yang Esa   disingkap kembali.  Mulanyal nabi Ibrahim tidak punya anak, setelah dianugerah anak diperintah untuk meninggalkannya di padang pasir dan setelah anaknya besar perintah Allah untuk disembelih puteranya itu. Alhamdulillah nabi Ibrahim berjaya melaksana semua perintahNYA dengan melakukan pengorbanan hebatnya.

Saya mahu mengambil ibrah dari peristiwa ini. Apakah pengorbanan hebat yang saya telah lakukan kepada:-

1.  Ibu dan Ayah
2.  Suami
3.  Anak-anak
4.  Ahli keluarga
5. Rakan taulan
6. Majikan
7. Lain-lain

Semua yang dilistkan tiada pengorbanan hebat yang boleh saya banggakan kepada mereka.  Dan yang lebih penting dan utama bertanya pada diri ini apakah pengorbanan besar dan hebat untukMU Ya Rab dari diri ini.  Wahai Nabi Ibrahim sempena tibanya 10 zulhijjah ini saya ingin mengikut jejak langkahmu berkorban segala-galanya demi menjayakan perintahNYA. Wahai nafsu mahu rasanya kusembelih engkau jika engkau enggan akur dengan perintahNYA.

SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDIL ADHA


Thursday 27 October 2011

Generasi Y



Saya generasi X.  Mandi di sungai,  minum air telaga,  main galah panjang dan banyak lagi.  Anak saya Generasi Y mandi air panas,  minum air pepsi,  main psp dan banyak lagi.  Kita generasi yang berbeza namun matlamat sepatutnya adalah sama.

Saya kadang-kadang hilang punca untuk menangangani perilaku generasi Y dan saya tak tahu nak handle sikap mereka.  Anak saya tak suka keluar rumah main bola di padang,  tak suka ronda-ronda naik basikal,  tak suka ikut mak ayah pergi makan kenduri. Mereka suka PSP,  suka FB,  suka game di internet,  suka makanan fastfood  dan entah apa-apa lagi.  Telinga sentiasa bersumbat dengan tali...

Hati ini takut,  resah dan gelisah. Saya ke yang tak mengikuti perkembangan zaman atau anak-anak yang dah naik lemak...???///

Tuesday 18 October 2011

Isteri Keluar Rumah

Buku hasil terjemah ibu kepada kawan anak saya (Firdaus Fahmie).
  Tahniah Ustzah Nafisah

Buku ini saya beli semasa saya singgah di sebuah kedai makan.  Harganya cukup murah cuma RM5 sahaja.   " Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu" (al-ahzab:33).  Huraian ayat ini dikupas dengan baik oleh penulis di dalam buku ini.  Setelah membaca dan cuba memahaminya saya bertanya kepada diri sendiri.  Apakah saya keluar rumah termasuk dalam ketetapan wajib,  sunat,  harus,  makruh atau haram...???///  Teliti dan amalkan moga apa jua yang dilakukan diangkat olehNYA menjadi ibadah.

Friday 14 October 2011

Bersara Ke Kita?

Selepas solat zuhur berjemaah semalam, kami berkumpul di lantai biru Wisma FELCRA Berhad untuk meraikan persaraan Puan Azizah Hashim (bekas bos saya).  Tiada hidangan yang hebat yang kami sediakan untuknya tetapi majlis yang diadakan cukup membuat hati ini begitu terharu dan hiba.

Banyak kenangan bersamanya dan paling saya akan ingat,  bersamanyalah kali pertama saya menaiki kapal terbang.  Terima kasih banyak-banyak Cik Zah,  banyaknya tunjuk ajar dan sumbangan yang diberikan kepada saya.  Dalam ucapan Cik Zah di majlis kami tu,   paling terkesan tiada istilah bersara baginya.  Bersara yang mutlak adalah bila kita dibersarakan olehNYA dari dunia ini.  Moga ikatan ukhwah kita berterusan walaupun bukan dibawang satu bumbung FELCRA Berhad lagi Insyaallah.


Ucapan dan nasihat dari Cik Zah

Hidangan kami, x tunjuk sebab.....



Pengerusi Tetap sampai bila-bila [ Kak Wan }
  
Bergambar bersama



Hadiah tanda ingatan

Ada ahli yang tertinggal so kena bergambar sekali lagi


Tuesday 2 August 2011

Bila nikmatmu dikurangkan

Dah lama anak saya abang Yang Firdaus komplen mata tak berapa nampak kalau melihat nombor-nombor yang jauh di  dalam kelas.  Saya pulak asyik buat tak kisah sebab memang tahu banyak masalah kalau dah bermata empat.  Pengalaman menyediakan cermin mata untuk kak Yong dengan Abang Nyah memang kadang-kadang menaikkan kemarahan.  Diusia kecil memakai cermin mata memang memeritkan kerana kadang-kadang sebulan sekali cermin mata hilang,  patah dan macam-macam lagi.

Firdaus,   sebenarnya Allah telah melatih mata kita di alam ghaib beribu-ribu tahun untuk melaksanakan tanggungjawab yang diperintah olehNya. Ditarbiah oleh Rab begitu lama untuk kesempurnaanya.  Oleh itu ketahuilah nikmat mata ini yang tidak dapat dibandingkan dengan apa jua.  Melihatlah dengan mata hati dan tidak dengan mata kasar sahaja. Dah pakai cermin mata ni kena kurangkan tengok komputer dan yang paling penting kena tengok al-quran banyak-banyak supaya mata tidak bertambah kurang sinarannya.


Harap-harap panjang le umur cermin mata ni


Thursday 28 July 2011

Menghitung Hari


Inilah hitungan saya setiap hari,  tolong tampal aje

Kalau ditanya apa perasaan awak Azilawati nak sambut Ramadhan?  Tak terjawab rasanya.  Tak dapat lagi merasai  perasaan tidak sabar-sabar untuk menemuinya.  Itulah tandanya saya masih jauh ikatan dengan Ramadhan,  kalau begitu ikatan saya denganNYA bagaimana pulak? Malu sangat-sangat dalam situasi sebegini.  Jeles melihat kawan-kawan  dan orang lain dah membuat persiapan untuk melaksanakan pesta ibadah di Ramadhan ini.  Dapatkah saya menikmati Bonus RamdhanMU kali ini atau masih di dalam kerugian lagi di tahun ini.  Ya Allah aku tak mahu rugi lagi di tahun ini bantulah aku untuk mendapatkan jualan murahMu di tahun ini.  Apakah aku memikirkan persiapan Hari Raya lebih daripada memikirkan persiapan Ramdhanmu...???///

Tuesday 26 July 2011

ziarah

Minggu lepas dapat berita sepupu suami berada di wad HKL.  Bok De Nani  adalah panggilan kami kepadanya.  Hati saya bagai direntap-rentap apabila mendapat berita berkenaan.  Dapat-dapat aje berita tu hati ini pulak bagai melonjak-lonjak nak pergi ziarah.  Akhirnya petang semalam kami sekeluarga berpeluang menziarah Bok De Nani,alhamdullilah.

Saya sejujurnya-jujurnya teramat  kagum melihat ketabahan kak Nani menghadapi ujian penyakit ini.  Rawatan Radioterapi sebanyak 35 kali dan kimoterapi pula sebanyak 7 kali yang akan dilakukan ke atas tidak menampakkan keperitan baginya.  Kami dilayan dengan penuh mesra walaupun dalam keadaan suara yang amat sukar untuk dikeluarkan. Kesian sungguh melihat Kak Nani yang amat payah untuk menelan air dan makanan akibat kesan dari rawatan berkenaan. 

Untuk Kak Nani saya bawakan hadis ini sebagai perkongsi bersama:-

" Seorang Muslim yang tertimpa kecelakaan, kemelaratan,  kegundahan,  kesedihan,  kesakitan,  mahupun kedukacitaan,  sampai yang tertusuk duri pun,  niscaya Allah akan mengampuni dosanya sesuai dengan apa yang menimpanya'."  (Diriwayatkan Al- Bukhari dan Muslim)

Saya bermuhasabah sendiri kalaulah saya diuji olehMU dimanakah tahap saya?  samaada sabar,  redha atau bersyukur atau...???///




Kak Yong Tiqah pun turut ziarah
Kami sayang Kak Nani
 

Firdaus doakan Bok De Nani cepat sembuh ya

Sunday 10 July 2011

BERSIH

Saya juga tidak ketinggalan untuk menilai isu yang terhangat buat masa ini 'bersih'.  Semalam salah seorang anak bertanya 'ibu bersih tu ok ke?'.  Untuk jawab ok atau sebaliknya memang senang tapi untuk mengupas menjelaskan kenapa ok dan kenapa tak ok saya terpaksa membuat pembacaan seterusnya meneliti hujah-hujah ahli politik,  ahli-ahli akademik  para sasterwan,  para NGO,  para ulamak dan banyak lagi.  Semuanya mempunyai pendapat dan pandangan masing-masing berdalilkan kefahaman masing-masing.  Saya akur dan cuba berlapang dada dengan apa jua pendapat mereka.  Untuk saya menjawab pertanyaan anak saya itu saya tidak menuntut dia mengikut pendapat saya tetapi saya mengajak dia berfikir untuk mencari jawapan sendiri.

Namun begitu saya cukup terharu kerana anak saya ambil peduli tentang isu sebegini dan berbesar hati meminta pandangan dari orang yang paling hampir dengannya.  Banyak ke ilmu saya nak  menjawab semua ini...???/// 

merekakah pejuang @  sebaliknya?

Thursday 7 July 2011

La Tahzan Wahai Hatiku

Isnin lepas, dapat berita bapak saudara (panggilan De) telah kembali menemui tuhan yang ESA. Kebetulan hari tu saya cuti jadi dapatlah balik ke kampung menghadiri pengkembumian beliau.  Sebelum ini seorang bapa saudara telah dijemput Ilahi dan masih belum hilang rasanya kesedihan itu, kini pergi pula arwah De.  Tidak dapat digambarkan betapa pilu hati ini bila melihat jenazah dibawa pergi untuk dikebumikan.

Pemergian menuju kepada  Pencipta

Wahai hati janganlah bersedih (la tahzan) kerana engkau juga akan ke sana menemui penciptamu.  Tidak ada upaya kita untuk melambatkan atau mempercepatkan kematian itu walaupun sesaat.  Dan yang paling sedih mengenangkan abah dan seorang lagi emak saudara yang tinggal waris Hj Yeop untuk meneruskan kehidupan. Tentu sekali mereka juga teramat hiba dengan ketiadaan kedua-dua saudara mereka di dunia ini.

Doa saya untuk Arwah De  "Ya Allah! Ampunkanlah ia dan rahmatilah ia.  Selamatkanlah ia dan maafkanlah kesalahannya.  Muliakanlah tempatnya,  luaskanlah kuburnya,  mandikanlah ia dengan air salji dan hujan batu. Bersihkanlah ia daripada kesalahan sebagaimana engkau bersihkan pakaian putih daripada kekotoran.  Gantikanlah rumah yang lebih baik daripada rumahnya,  keluarga yang lebih baik daripada keluarganya,  paangan yang lebih baik daripada pasangannya.  Masukkanlah ia ke dalam syurga dan lindungilah ia daripada siksaan kubur (riwayat Muslim). 

Saturday 11 June 2011

Selamat Hari Lahir Kak Yong

09/06/2011 ulang tahun kelahiran Kak Yong.  Ibu dan ayah teruja juga nak wish pagi-pagi tu tapi bila call telefon tak dibukakan pun.  Hantar sms pun tak dibalas.  Dah tengahari baru dia call balik,  beriya-iya ibu nak wish besyday dan minta maaf tak dapat raikan bersama dan tiada hadiah untuknya.  Tapi... terkedu pulak dia menjawab ibu tak perlu bersusah payah nak bagi hadiah atau raikan hari lahirnya cukuplah dengan doa dan kasih sayang yang ibu an ayah  curahkan selama ini. Kini saya pula yang kena fikir banyak-banyak kali apakah sebenarnya makna hari kelahiran ...???///

Tuesday 7 June 2011

Kami yang Tinggal

Kini 2 anak dah tak tinggal bersama kami lagi.  Meneruskan kehidupan dengan tujuan dan matlamat masing-masing.  Firdaus dan Faris yang masih bersama ibu sepenuh masa,  terasa sungguh kesepian tanpa Faez dan Atiqah.  Antara yang sering teringat-ingat adalah masa solat bersama,   terasa begitu indah saat itu.  Keindahan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.  

Pengajarannya untuk saya,  sayangilah kepada sesiapa pun semasa dia bersama kita. Biarpun payah dan berbagai rintangan untuk terus menyayangi hambaNYA di dunia ini tetapi itulah yang sebaik mungkin supaya kita tidak kecewa di kemudian hari. Bermujahadah untuk mengasihi dan mencintai sesama insan dengan harapan diri ini akan dikasihi dan disayangi olehMU pula. Adakah kita sayang semua orang...???///


Fares buli abang Yang


Wednesday 25 May 2011

Berdikari

18 tahun tinggal bersama ibu dan ayah,  jarang sekali kita berpisah melebihi masa yang panjang.  Menjalani kehidupan bersama penuh dengan warna-warni kehidupan. Gelap,  terang, suka,  duka semuanya dirasai bersama.  Kini masanya untuk Faez menjalani kehidupan yang berjauhan dengan ibu dan ayah.  Membuat pertimbangan dan keputusan sendiri memerlukan timbang tara yang sebaik mungkin.  

Good luck for my lovely son and applylah di luar sana dengan apa yang telah dipelajari dan ditarbiah oleh mualim,  murabbi dan naqibmu selama ini. Macam mana rasa rindu anak jantanku pada ibunya...???/// kita tungguuuuuuu.


Anak Ayah


Berbaris daftar,  ibu n ayah tak payah susah2 g makan dan minum


Sunday 15 May 2011

Pilihanmu Pilihan Kami Juga

Akhirnya kakak meneruskan perjuanganya yang tentunya memerlukan pengorbanan yang tinggi setinggi gunung everest layaknya.  Membuat pilihan yang terbaik untuk dirinya bukanlah perkara yang mudah atau ikut citarasa dan kehendak kita sahaja. Banyak yang perlu difikirkan demi mendapatkan yang terbaik disisiNYA.  

Moga pilihan yang menjadi pilihan kakak adalah pilihan hebat pada ukuran dan   pandangan ' langit '.  Terima kasih pada Matriks,  kolej2 swasta dan institusi pengajian yang lain sudi menawarkan pengajian kepada beliau.  Walaupun jurusan yang ditawarkan tidak kurang hebatnya ibu rasa kakak redha dengan mengucapkan 'saya tolak semua itu demi....'.

Nak ucapkan terimakasih pada semua terutama pada keluarga yang tidak jemu-jemu menyumbang dari segi kewangan dan buah pandangan untuk tujuan pendidikan beliau.  Hanya Dialah sahaja yang dapat membalas semua jasa baik kalian.  Selama 6 tahun tinggal jauh dengan ibu dan ayah kini jarak antara kita hanya 1 jam perjalanan bagaimana ya...???.///


Inilah pilihan anakku

Adik berehat tunggu kakak daftar

Selamat mendaftar 14/05/2011. Ibu sentiasa bersama kakak insyaallah

Saturday 7 May 2011

Cucu Sulong n Cucu Bongsu

Macam ibu dan anak aje 
Inilah cucu sulong dan cucu bongsu Bahanang Hj Suffian sehingga kini.   Gembira melihat kemesraan mereka walaupun umurnya jauh berbeza.   Sempat snap gambar ni masa walimah anak buah suami.  

Friday 22 April 2011

Sheikh Abdul Rahman As Sudais

Mungkin suatu hari nanti saya dapat solat berimamkannya
Imam Mekah ziarah Malaysia.  Rasa teruja sangat nak join majlis yang dihadiri olehnya,  tapi tak kesampaian.  Paling sedih dapat tahu pada hari selasanya dia datang solat di masjid UIA. Frust sunggug-sungguh. Tak banyak info mengenai kedatangannya menyebabkan saya dan keluarga terlepas peluang solat berimamkannya.   Dapat tahu dia mengimamkan solat Jumaaat di Masjid Jalan Duta tapi memang itu bukanlah peluang untuk saya ke sana.

Bangga betul dengan dia kerana seorang ulamak dan imam yang tersohor,  bijak (ada PHD),  bacaan  al quran yang terama-amat menusuk kalbu dan banyak sangatlah kelebihan yang ada padanya.  Moga adalah imam-iman di Malaysia memiliki ciri-ciri sepertinya,  insyaallah.  Terfikir tentang diri sendiri mungkin Allah belum memilih saya untuk bertemunya atau melihatnya dari jauh pun kerana banyak yang perlu dilakukan untuk agama belum dilaksanakan...???///

Thursday 31 March 2011

Wangsa Walk

Offis saya terletak di Wangsa Maju berhampiran sangat-sangat dengan Wangsa Walk.  Siang hari laluan itulah yang menghubungkan saya ke pejabat.  Siang hari saya lalu macam biasa-biasa sahaja.Semalam entah macam mana nak masukkan duit kat bank Islam di Gombak rosak pulak.  Saya pun ajak suami ke bank Islam di Malawati tapi hampa juga mesin  deposit duit tidak boleh digunakan.  Kami ambil keputusan ke bank Islam di Wangsa Walk,  setibanya saya di sana jam nenunjukkan pukul 10 malam.  Saya semacam tak percaya apa yang dilihat.  Hati saya jadi takut, kecut dan sesak juga menyesakkan.   Lautan golongan remaja dan belia,  kenderaan  dan restoran makanan  menjadikan kawasan bagaikan pesta hiburan besar-besaran.  Kebanyak remaja berkepit dengan pasangan masing-masing tanpa segan dan silu,  sebaliknya saya pula yang merasa teramat malu kerana menyaksikan perlakuan tidak senonoh mereka.

Saya tertanya-tanya pada diri sendiri adakah ini fenomena biasa di malam hari di bandaraya Kuala Lumpur?  Bolehkah saya melelapkan mata di atas tilam empuk serta bermimpi yang indah-ndah sedangkan di luar sana kemungkaran berleluasa...???///

Monday 28 February 2011

Muslimin Brotherhood

Gelombang revolusi  terus bertiup dari satu negara ke satu negara lain di negara Arab.  Saya juga cuba membaca dan memerhati dengan mata hati keadaan yang terus melanda negara Tunisia,  Mesir dan Libya.  Menyibukkan diri dengan membaca berita tentang bangunnya rakyat di Asia Barat menentang taghut.  Thanks kepada all muslimin brotherhood di sana kerana mempunyai semangat juang yang tinggi. Cukup-cukup membanggakan dan bersemangat bila membaca berita-berita perjuangan mereka.

Paling mengembirakan perjuangan Ikhwan Muslimin dalam misi menjatuhkan pemerintah yang zalim.  Terkenang kepada pengasas Ikhwan Muslimin iaitu Sayyid Hassan al Banna yang telah dibunuh dengan  kejam oleh pemerintah Mesir lebih 70 tahun yang lepas.  Sedang membaca hasil  risalah-risalah beliau  yang telah dibukukan,  semoga dengan pembacaan ini dapat menaikkan semangat dalam perjuangan menegakkan kalimahMu di bumi ini.


Buku yang tebal kena berjuang nak habis membacanya
[ Hassan Al-Banna ibarat satu gagasan yang mantap. Gagasan yang tidak mengejar kekayaan, tidak pernah mencari keuntungan sementara. Melalui pembacaan buku ini, para pembaca akan dapat mengenal dakwah Al-Ikhwanul Muslimin dengan sahih & benar, bersih dari sebarang fitnah. Imam Hassan Al-Banna menggegarkan jiwa-jiwa mukhlis, menyedarkan ummah, menunjuk jalan, jalannya para nabi & rasul.]

Rasa macam best pulak bila sekarang ramai nak kenal siapa itu muslim brotherhood.  Terkenang masa dulu jenuh fikir siapa mereka...???///


Thursday 24 February 2011

Mengibadahkan Percutian

Baru-baru saya bersama keluarga bercuti di Pantai Port Dickson.  Seingat saya memang dah lama sangat saya dan keluarga tak ke sana.  Mak Uji yang pujuk anak-anak saya dan apalagi mereka sukalah sangat-sangat.  Jenuh memikirkan bagaimana percutian boleh menjadi satu ibadah kerana apa yang saya sering lakukan semasa bercuti tidak lain hanya mencari makan,  minum,  bersantai dan bersukaria.

Namun hati kecil ini mencari-cari supaya ada juga sedikit pengisian yang boleh menjadi aset pahala di sana nanti.  Kebetulan bercuti kali ini juga disertai oleh 2 orang anak buah yang sedang meningkat remaja.  Boleh dikatakan saya memang rapat dengan mereka tetapi peluang untuk makan,  minum bersama tu banyak kali,   tetapi kali ini saya paling bertuah kerana dapat tidur bersama mereka.  Rupanya banyak yang dapat dikongsi bersama mereka tentang kehidupan ini.  Dalam keadaan santai dapat juga saya bertukar-tukar pendapat mengenai ilmu langit.  Nampak penuh minat mereka mendengar bual bicara saya di bilik  hotel sambil berbaring-baring.  Akhirnya saya membuat kesimpulan bahawa anak-anak remaja perlu sangat-sangat disayangi jika ingin membimbing dan memimpin tangan mereka ke jalan yang diredhai. Dah banyak ke ilmu remaja di dada saya...???///


Merenung jauh fikir tentang kejadian air
  
Stering di tangan pandu dengan matlamat yang benar

Ayah melayan kerenah anak

Inilah wajah anak-anak yang perlu dibimbing dan dipimpin
 

Sunday 30 January 2011

Pilihanraya

Sejak akhir-akhir ini banyak pula pilihanraya kecil terpaksa diadakan kerana beberapa sebab.  Sebagai rakyat Malaysia saya juga kena ambil tahu walau tak banyak sedikit tentang warna-warni politik/pilihanraya.  Kalaupun tidak turut berkempen atau turun padang setidak-tidaknya  sumbangan doa untuk kejayan tidak dilupakan. Mengharap pilihan yang terbaik untuk penduduk Tenang hari ini.  Lepas ni lokasi seterusnya ke Merlimau pula dan seterusnya mungkin Pilihanraya ke 13  kita tungguuuuuuuuu.

Sebenarnya dalam kehidupan kita hari-hari adalah pilihanraya.  Membuat pilihan  manakah yang terbaik disiNYa juga adalah Pilihanraya Besar. Pilihan di tangan kita samaada hari ni nak baca buku@ nak tidur aje. Nak pergi shoping @ nak simpan duit untuk bersekah.  Nak rehat-rehat bersama berkeluarga @ bantu masyarakat.  Nak sabar @ marah.  Nak redha @ merungut.  Nak buat mahmudah@mazmumah.   Pilihanraya paling besar mengatasi semua pilihan raya yang ada di dunia ini ialah membuatlah pilihan nak ke Neraka @ ke Syurga...???///

Jadikanlah mereka pemimpin yang sebenar-benarnya,  Insyaallah


Friday 21 January 2011

2 Tahun Sudah

Bulan ni 2 orang anak saya meyambut ulangtahun kelahiran.  Alhamdulilah 2 tahun sudah umur Faris dan syukur padaNYA  saya dapat menyusuinya selama umurnya kini.  Menunaikan tanggungjawab menyusuinya  selama 2 tahun bukan perkara mudah bagi saya.  Banyak yang  terpaksa dikorbankan demi menunaikan hak  yang telah tercicir selama ini kepada 3 anak yang dahulu.

Ok Faris,  sekarang masa untuk manyapih pula,  ibu kena kuat semangat  walaupun berat hati untuk melaksanakanya.  Usaha-usaha menyapih juga bukanlah kerja mudah kerana Faris dah sebati dengan citarasa itu.  Keadaan ini mengingatkan juga kepada saya rupanya dalam ibadah juga kalau kita dah terlalu sebati dengan sesuatu yang  dilakukan dari dahulu memang susah untuk meninggalkannya walhal banyak perkara ibadah yang dilakukan itu tidak menepati syariat. Kekentalan  sesuatu dalam hati yang dirasakan benar amat payah untuk diubah melainkan dengan ketukan,  cucian atau gertakan  yang benar-benar hebat.


Selamat hari lahir untuk Faris yang kedua dan bersiap sedia untuk disapih. Berjaya ke...???///

Moga Faris menjadi saham akhirat untuk ibu dan ayah

Thursday 20 January 2011

Jumaat Yang Datang

Esok Jumaat (penghulu segala hari) datang lagi,  dulu saya yang bekerja memang ternanti-nanti hari Jumaat sebab rehat yang panjang 12.15 tengahhari sampai 2.45 petang.  Macam-macam boleh buat mengikut kehendak masing-masing.  Teringat dulu-dulu jalan TAR atau Bukit Bintang menjadi destinasi pilihan yang utama.  Makan,  minum,  bersembang-sembang dan bershoping mengikut kehendak hati.

Semenjak pejabat dah bertukar ke wangsa Maju aktiviti membeli belah semacam terbantut sedikit dek kerana jauhnya dari premis-premis berkenaan.  Ada hikmah juga Opis pindah ni.  Tak kala membaca kupasan satu ayat tentang hari Jumaat dariNYA hati saya sedikit terkedu-kedu.

Wahai orang-orang yang beriman!

Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat,  maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkan berjual -beli (pada saat itu); yang demekian adalah baik bagi kamu mengetahui (hakikat yang sebenar). (al-Jumu'ah 62:9-10)

Bila baca ayat ni macam tak kena kat saya aje,  tapi bila dibaca kupasannya dari sebuah buku saya bermuhasabah diri.

Pandangan pertama:

Perintah dalam ayat ini hanya ditujukan kepada orang yang wajib melaksanakan solat Jumaat,  iaitu lelaki yang sudah baligh

Pandangan kedua:

Perintah dalam ayat ini ditujukan kepada semua orang Islam tanpa membezakan orang yang wajib atau tidak kerana ayat di atas dimulai dengan" wahai orang-orang beriman!"  Justeru hendaklah semua orang Islam meninggalkan jual beli agar orang lelaki yang sudah baligh di kalangan mereka dapat ke masjid melaksanakan solat Jumaat tanpa dilalaikan oleh urusan jual-beli yang berlangsung.

Saya memujuk hati ini agar lebih cenderong kepada pendapat yang kedua kerana bimbang dan takut dengan ancaman dariNYA kalau saya ambil tak kisah dengan semua ini. Alangkah malang Jumaat penghulu segala hari yang penuh dengan kelebihan disisiNYA tetapi dicemari dengan aktiviti...???////

Moga jalan yang kupilih menuju syurgaMU

Thursday 13 January 2011

Menuju Kebalighan

10 tahun Firdaus telah berada di bumi Allah yang bertuah ini. Tanggal 13.01.2001 dirimu dihantar olehNYA ke alam ini dengan MOU yang telah dimenterai bersama RAB. " aku dengar aku taat"  itulah MOU yang dipersetujui sebelum Firdaus berada di bumi ini.

Kini menuju zaman mumayiz seterusnya zaman baligh.  Firdaus dah memasuki fasa baru,  so kena jaga batas pergaulan dengan semua orang.  Dengan ibu dan ayah tak boleh pakai seluar pendek lagi begitu juga dengan rakan-rakan yang lain. Ingat! jangan bersalaman dengan orang yang bukan mahram.   Tutup aurat dengan sempurna kerana Firdaus dah ada buku sendiri yang dicatat amalan baik mahupun amalan jahat.  Solat dan puasa tak boleh main-main lagi kena buat betui-betuiiii.

Selamat datang ke alam syabab moga Firdaus diangkat menjadi Rijal di sisiNYA. Hadiah hari lahir apa ya...???///

Sunday 2 January 2011

Back To School

Sesi persekolahan tahun 2011 akan bermula.  Tahun ni Firdaus seorang je bersekolah,  tak banyak persediaan yang perlu dilakukan berbanding di tahun-tahun yang lepas.  Baju sekolah,  buku dan kelengkapan lain pun macam tak kisah-kisah nak beli.  Macam mana pun last minit bila pergi sekolah Firdaus habis juga dengan sejumlah wang yang besar untuk selesaikan semuanya. 

Pesanan untuk anak-anakku dan anak-anak saudaraku yang lain bila dah besar nanti sekiranya dah jadi orang berada jangan fikir balik nak bayar semua perbelajaan ini kepada ibu dan ayah.  Cuma harapan kami cukuplah dengan menjadi anak yang soleh yang mendoakan kepada kami selepas ketiadaan kami nanti.  Ini salah satu bil bayaran,  yang lain...???///
DemiMu saya akur w/pun banyak  rintangan untuk dilaksanakan