Bulan Pesta Ibadah datang lagi. Dijadikan olehNya bulan ini untuk kita berpesta dan bergembira dalam mengerjakan ibadah. Inilah karnival ibadah yang dianjurkan oleh Allah dengan tiada tandingan dengan apa-apa jua karnival yang dicipta oleh manusia. Tuhan telah memperakui dan menetapkan bahawa bulan ini bulan bulan untuk kita mendapat rahmatnya. Bulan untuk saya berjuang mengasah serta menajamkan keimanan dan ketaqwaan kepadanNya.
Tapi ya, bagaimana saya dapat mencapai ketaqwaan yang disebut-sebut oleh semua orang dalam bulan yang mulia ini? Payah dan penuh dugaan. Sebagai contoh masa berbuka puasa berbagai-bagai hidangan disediakan. Mengikut sunah nabi memulai berbuka puasa dengan kurma atau kalau tiada buah disunatkan dengan air. Selepas itu disunatkan solat magrib itulah yag dilakukan oleh nabi. Bertahun-tahun Ramadhan yang dilalui saya cuba mempratikkannya, namun gagal dan terus gagal. Akhirnya apabila Firdaus mula belajar berpuasa dan berbuka puasa dengan segala-gala yang ada di atas meja, dia termuntah dan lembik separuh badan. Saat itu barulah kami sekeluarga tersedar dan berusaha meninggalkan kebiasaan kepada kesunnahan.
Begitulah payah dan sukarnya untuk saya melaksanakan sesuatu sunah. Allah terpaksa menimpakan sesuatu peristiwa agar hati ini dapat dikejutkan untuk berubah. Kebiasaan yang telah mendarah daging dalam hidup ini bagai tidak mahu langsung dibuang walaupun sedikit. Saya tertanya-tanya tentang amalan sunah yang lain, yang mana Allah tidak menimpakan sebarang peristiwa yang membuatkan hati ini tidak terketuk untuk melakukannya.
No comments:
Post a Comment