Dari semalam hingga terbawa hari ini, hati bagai ditusuk sembilu apabila pemergian ibu rakan sekerja yang penuh tragis. Rakan yang sentiasa bersama ke majlis ilmu, berjamaah bersama di rumah Allah dan kadang-kadang bertukar-tukar buku untuk kebaikan bersama, Insya-Allah. Kak Zila sentiasa bersama Siti.
Katil berlumur darah
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Mohd Firdaus Ibrahim
anbia@hmetro.com.my
2010/05/06 AMPANG: Seorang suami hanya mampu tergamam tatkala memangku tubuh isteri yang berlumuran darah dalam keadaan muka, leher dan dada parah akibat ditetak penyamun yang menceroboh masuk ke rumahnya.
Dalam kejadian samun antara jam 7 hingga 9 malam kelmarin, mangsa yang juga seorang peniaga kedai runcit, Isnati Sahid, 58, ditemui terbujur kaku oleh suaminya, Suratman Sulaiman, 62, dalam bilik tidur di rumah mereka di Pangsapuri Intan, Ampang Permai di sini, sebaik pulang dari masjid berhampiran.
Mangsa dipercayai diserang penyamun bersenjatakan parang yang menceroboh masuk ketika bersendirian di rumahnya. Suratman yang ditemui semalam berkata, penyamun dipercayai mengambil peluang masuk ke dalam rumahnya ketika isterinya bersendirian dan ingin menunaikan solat Maghrib.
“Saya ketika itu baru pulang dari masjid kerana bertugas sebagai bilal kira-kira jam 9 malam. Namun, sebaik meletakkan motosikal di hadapan rumah, saya terkejut apabila mendapati percikan darah melekat pada cermin tingkap bilik tidur.
“Firasat buruk yang berlegar di kepala ketika itu akhirnya terbukti apabila saya menemui isteri terbaring dalam keadaan berlumuran darah di atas katil sebaik meluru ke bilik tidur,” katanya.
Menurutnya, dia tergamam sebelum memangku isterinya yang ketika itu sudah tidak bernyawa. “Saya hanya mampu mengesat darah pekat pada mukanya sebelum melihat bahagian itu mempunyai kesan luka terbelah akibat ditetak.
“Malah, kesan luka dalam turut ditemui pada leher dan dadanya. Saya juga sempat melihat kedua-dua tangannya cedera ditetak selain jari tangannya hampir lumat dipercayai akibat tetakan gila penjenayah,” katanya.
Malah, semua cincin, rantai dan gelang tangan dipakai isterinya lesap selain beg pinggang serta wang jualan yang disimpan dalam laci hilang.
“Saya hilang kata-kata dan hanya mampu mendukungnya. Saya meminta bantuan jiran membawanya ke Hospital Ampang dengan menaiki van,” katanya.
Menurutnya, kejadian itu meluluhkan hati kerana isterinya yang lebih dikenali dengan panggilan Mak Haji amat lemah-lembut dan pandai mengambil hati.
“Malah, beberapa hari sebelum kejadian ini, arwah kerap memicit dan menggosok badan saya setiap kali sebelum tidur. Dia sering bertanya sama ada saya sihat atau sebaliknya berikutan saya kerap demam kebelakangan ini.
“Tapi, Tuhan memanggilnya terlebih dahulu. Susah untuk terima cara kematiannya, namun semua ini sudah ditakdirkan,” katanya.
Menurutnya, dia dan isteri baru pulang daripada menunaikan umrah seminggu lalu selepas beberapa kali menunaikan ibadat sama sebelum ini.
“Penjenayah mungkin menyedari isteri saya bersendirian di rumah kerana sebelum ini Mak Haji ditemani seorang pembantu kedai wanita warga Indonesia.
“Namun, wanita terbabit ditahan imigresen baru-baru ini ketika kami menunaikan umrah menyebabkan isteri terpaksa bersendirian di rumah ketika ketiadaan saya,” katanya ketika ditemui di Surau At-Taqwa berhampiran Pangsapuri Intan, bagi menguruskan jenazah isterinya, semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa maut akibat parah pada leher.
Mangsa juga cedera pada kedua-dua tangan. Kami percaya suspek cuba menyamun dan tindakan mangsa yang cuba melawan menyebabkan lelaki terbabit menyerangnya.
“Kami (polis) mendapati dua gelang tangan milik mangsa juga dilarikan suspek. Malah, polis percaya kekejaman suspek berada di bawah pengaruh dadah ketika melakukan perbuatan itu,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Menurutnya, pihak berkuasa turut menemui sebilah parang di tempat kejadian yang mempunyai kesan darah.
“Sehingga kini kita tidak dapat memastikan sama ada ia adalah senjata yang digunakan dalam kejadian ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 395 kanun sama kerana samun bersenjata,” katanya.
Abd Jalil berkata, lakaran fotofit wajah suspek sudah diedarkan kepada orang ramai bermula semalam dan mereka yang mempunyai sebarang maklumat atau mengenali penjenayah terbabit diminta menyalurkannya kepada pihak polis dengan segera bagi membantu siasatan.
“Kerjasama orang ramai amat diperlukan bagi memastikan suspek ditangkap dengan segera dan dihadapkan ke muka pengadilan,” katanya.
Sementara itu, jenazah mangsa yang selesai dibedah siasat di Pusat Perubatan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (PPHUKM), Cheras, selamat disemadikan di tanah perkuburan Islam Jalan Kuari, dekat sini, selepas solat Zuhur, semalam.
Siti Hawa Suratman bersama emak saudaranya.
Tiada kata-kata yang dapat diucapkan melainkan kepadaMu kami berserah sepenuhnya.
No comments:
Post a Comment